Pergi ke kandungan

Iran

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
REPUBLIK ISLAM IRAN
Republik Islam Iran
Cogan kata: Motto:

اَللَّٰهُ أَكْبَرُ Allāhu ʾAkbar (Takbir) "Allah Maha Besar" (de jure) استقلال، آزادی، جمهوری اسلامی Esteqlâl, Âzâdi, Jomhuri-ye Eslâmi "Kemerdekaan, kebebasan, Republik Islam"

(de facto)[1
Lagu kebangsaan: Anthem: سرود ملی جمهوری اسلامی ایران

Sorud-e Melli-ye Jomhuri-ye Eslâmi-ye Irân

"Lagu Kebangsaan Republik Islam Iran"
Ibu negara
dan bandar terbesar}
Tehran
35°41′U 51°25′T / 35.683°U 51.417°T / 35.683; 51.417
Bahasa rasmiBahasa Parsi
Kumpulan etnik
  • 61% Parsi
  • 16% Azerbaijanis
  • 10% Kurdi
  • 6% Bakhtiari
  • 2% Turkmen
  • 2% Baloch
  • 2% Arab
  • 1% lain-lain
DemonimOrang Iran
Pemerintah
  • Presiden kesatuan dengan Republik Islam*[Teokrasi]
 Mojtaba Khamenei [Pemimpin Tertinggi]
Masoud Pezeshkian [President]
Badan perundanganMajlis Perundingan Islam
Sejarah Penubuhan
 kerajaan Median
c. 678 SM
 Empayar Achaemenid
550 BC
 Empayar Parthia
247 BC
 Empayar Sasanian
224 AD
 Intermezzo Iran
821
 Revolusi Iran
11 Februari 1979
 Republik Islam ditubuhkan
1 April 1979
 Perlembagaan semasa
3 Disember 1979
 Pindaan perlembagaan
28 Julai 1989
 *
    Keluasan
     Jumlah
    1,648,195 km2 (636,372 bt2) (17th)
     Perairan (%)
    1.63 (as of 2015)[1]
    Populasi
     Perkiraan 2019
    83,183,741[2] (17th)
    48/km2 (124.3/sq mi) (162nd)
    KDNK (PPP)2020
     Jumlah
    $1.007 trillion[3] (18th)
     Per kapita
    $11,963[3] (66th)
    KDNK (nominal)2020
     Jumlah
    $611 billion[3] (21st)
     Per kapita
    $7,257[3] (78th)
    Gini (2018)negative increase 42.0[4]
    sederhana
    HDI (2019) 0.783[5]
    tinggi (70th)
    Mata wangRial Iran ریال (IRR)
    Zon waktuUTC+3:30 (IRST)
     Musim panas (DST)
    UTC+4:30 (IRDT)
    Format tarikhyyyy/mm/dd (SH)
    Kod panggilan+98
    Kod ISO 3166IR
    DPT internet

    Iran (Parsi: ايران Īrān) atau secara rasmi REPUBLIK ISLAM IRAN , juga dikenali sebagai Parsi di negara-negara barat, ialah sebuah negara di Asia Barat. Ia bersempadan dengan Armenia, Azerbaijan dan Turkmenistan di utara, Pakistan dan Afghanistan di sebelah timur, dan Turki dan Iraq di sebelah barat. Iran juga berkongsi Teluk Parsi dengan Kuwait, Iraq, Arab Saudi, Bahrain, Oman, Qatar dan juga Emiriah Arab Bersatu. Agama rasminya ialah Islam beraliran Syiah dan bahasa rasminya ialah Bahasa Parsi.

    Iran merupakan sebuah negara yang menyimpan antara tamadun yang tertua di dunia. Berumur hampir 6000 tahun, Iran terletak di tengah-tengah benua Eurasia dan ini menjadikannya cukup penting dalam tamadun dunia kerana mempunyai kedudukan geografi yang strategik. Iran juga adalah ahli pengasas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Persidangan Islam, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan Organisasi Kerjasama Ekonomi. Ia merupakan antara kuasa rantau yang terpenting di Asia Barat dan memainkan peranan yang penting dalam ekonomi dunia melalui simpanan minyaknya yang banyak. Nama Iran ini berkait rapat dengan Arya, dan bermaksud "Tanah Arya" dalam bahasa Parsi.

    Lihat juga Empayar Parsi

    Sejarah awal, Empayar Median dan Empayar Hakhamaniyah (3200 SM – 330 SM)

    [sunting | sunting sumber]

    Daripada tulisan-tulisan sejarah, tamadun Iran yang pertama ialah Iran-Proto, diikuti dengan tamadun Elam. Pada milenium kedua dan ketiga, Orang Arya berhijrah ke Iran dan menubuhkan empayar pertama Iran, Empayar Medes (728-550 SM). Empayar ini telah menjadi simbol kepada pengasas bangsa dan juga empayar Iran. Ia disusuli dengan Empayar Hakhamaniyah (648–330 SM) yang ditubuhkan oleh Kirus Agung.

    Cyrus Agung juga terkenal sebagai pemerintah pertama yang mewujudkan undang-undang mengenai hak-hak kemanusiaan, tertulis di atas artifak dikenali sebagai Silinder Cyrus. Beliau juga merupakan pemerintah pertama yang memakai gelaran Agung dan juga Shah Iran. Di zaman beliau, perhambaan dilarang di kawasan-kawasan taklukan beliau (turut dikenali sebagai Empayar Parsi.) Idea ini kemudiannya memberi kesan yang besar kepada tamadun-tamadun manusia selepas zaman beliau.

    Empayar Parsi kemudiannya diperintah oleh Cambyses selama tujuh tahun (531-522 M) dan kemangkatan beliau disusuli dengan perebutan kuasa dimana akhirnya Darius (522-486 M) diisytihar sebagai raja.

    Ibu kota Parsi ketika zaman Darius dipindahkan ke Susa dan beliau mula membina Persepolis. Sebuah terusan di antara Sungai Nil dan Laut Merah turut dibina dan menjadikan beliau pelopor untuk pembinaan Terusan Suez. Sistem jalan juga turut diperbaharui dan sebuah lebuh raya dibina menghubungkan Susa dan Sardis. Lebuh raya ini dikenali sebagai Jalan Diraja.

    Selain itu, pensyilingan di dalam bentuk daric (syiling emas) dan juga Shekel (syiling perak) diperkenalkan diseluruh dunia. Bahasa Parsi Lama turut diperkenalkan dan diterbitkan di dalam inskripsi diraja.

    Dibawah pemerintahan Cyrus Agung dan Darius Agung, Empayar Parsi menjadi sebuah empayar yang terbesar dan terkuat di dunia ketika itu. Pencapaian utamanya ialah ia sebuah empayar besar pertama yang mengamalkan sikap toleransi dan menghormati budaya-budaya dan agama-agama lain di kawasan jajahannya.

    Empayar Iran Ketiga: Empayar Parthia (248 SM – 224 M)

    [sunting | sunting sumber]

    Parthia dimulakan dengan Dinasti Arsacid yang menyatukan dan memerintah Penara Iran. Ia juga turut menawan wilayah timur Yunani pada awal abad ke tiga Masihi dan juga Mesopotamia antara tahun 150 SM dan 224 M. Parthia juga merupakan musuh ketat Rom di sebelah timur, dan mereka berjaya menyekat kemaraan Rom di Anatolia. Tentera-tentera Parthia terbahagi kepada dua kumpulan berkuda, tentera berkuda yang berperisai dan membawa senjata berat, dan tentera berkuda yang bersenjata ringan dan kudanya lincah pergerakan. Manakala, tentera Rom terlalu bergantung kepada infantri, menyebabkan Rom sukar untuk mengalahkan Parthia. Tetapi, Parthia kekurangan teknik dalam perang tawan, menyebabkan mereka sukar mengawal kawasan taklukan. Ini menyebabkan kedua-dua belah pihak gagal menawan satu sama lain.

    Empayar Parthia wujud selama lima abad (Berakhir pada tahun 224 M,) dan raja terakhirnya kalah ditangan empayar lindungannya, iaitu Sassanid

    Sejarah Iran
    sunting

    Empayar Iran Keempat: Empayar Sassanid (226–651)

    [sunting | sunting sumber]

    Ardashir I, shah pertama bagi Empayar Sassanid, mula membentuk semula ekonomi dan tentera Parsi. Wilayahnya meliputi kawasan Iran moden, Iraq, Syria, Pakistan, Asia Tengah dan wilayah Arab. Ketika zaman Khosrau II (590-628) pula, empayar ini diluaskan sehingga ke Mesir, Jordan, Palestin, dan Lebanon. Orang-orang Sassanid pula menamakan empayar mereka Erānshahr (atau Iranshæhr, "Penguasaan Orang Arya".)

    Empayar Sassanid ketika zaman kegemilangannya.

    Sejarah Iran seterusnya diikuti dengan konflik selama enam ratus tahun dengan Empayar Rom dan Empayar Islam. Menurut sejarahwan, kekalahan Parsi didalam Perang al-Qādisiyyah (632 M) di Hilla, Iraq disebabkan oleh keputusan seorang panglima Parsi iaitu Rostam Farrokhzād. Beliau dikritik kerana keputusannya untuk berperang dengan orang Arab di bumi Arab sendiri. Kekalahan Sassanid di Iraq menyebabkan tentera mereka tidak keruan dan akhirnya ini memberi jalan kepada penawanan Islam ke atas Parsi.

    Era Sassanid menyaksikan kemuncak tamadun Parsi, dan merupakan empayar Parsi terakhir sebelum kedatangan Islam. Pengaruh dan kebudayaan Sassanid kemudiannya diteruskan selepas pemelukan Islam oleh Parsi.

    Islam Parsi dan Zaman Kegemilangan Islam Parsi (700–1400)

    [sunting | sunting sumber]

    Selepas pemelukan Islam, orang-orang Parsi mula membentuk imej Islam Parsi, dimana mereka mengekalkan imej sebagai orang Parsi tetapi pada masa yang sama juga sebagai muslim. Pada tahun 8 M, Parsi memberi bantuan kepada Abbassiyah memerangi tentera Umayyah, kerana Bani Umayyah hanya mementingkan bangsa Arab dan memandang rendah kepada orang Parsi. Ketika zaman Abbassiyah, orang-orang Parsi mula melibatkan diri dalam pentadbiran kerajaan. Sesetengahnya pula menubuhkan dinasti sendiri.

    Pada kurun ke sembilan dan ke sepuluh, terdapat beberapa kebangkitan nasionalis Parsi yang menentang idea Arab sebagai Islam dan Muslim. Tetapi kebangkitan ini tidak menentang identiti Islam. Salah satu kesan kebangkitan ini ialah penggunaan bahasa Parsi sebagai bahasa rasmi Iran sehingga ke hari ini.

    Ketika zaman ini juga, ahli-ahli sains Parsi membentuk Zaman Kegemilangan Islam. Manakala Parsi menjadi tumpuan kepada penyebaran ilmu sains, filasafah dan kejuruteraan. Ini kemudiannya mempengaruhi sains di Eropah dan juga pembangkitan zaman pembaharuan.

    Bermula pada tahun 1220, Parsi dicerobohi oleh tentera Mongolia di bawah pimpinan Genghis Khan, diikuti dengan Timurlang, di mana kedua-dua pencerobohan menyebabkan kemusnahan yang teruk di Parsi.

    Islam Syiah, Empayar Safawi, Dinasti Qajar/Pahlavi dan Iran Moden (1501 – 1979)

    [sunting | sunting sumber]

    Parsi mula bertukar menjadi Islam Syiah ketika zaman Safawi, pada tahun 1501. Dinasti Safawi kemudiannya menjadi salah sebuah kuasa dunia yang utama dan mula mempromosikan industri pelancongan di Iran. Di bawah pemerintahnya, seni bina Parsi berkembang semula dan menyaksikan pembinaan monumen-monumen yang indah. Kejatuhan Safawi disusuli dengan Parsi menjadi sebuah medan persaingan antara kuasa Imperial Rusia dan Empayar Inggeris (yang menggunakan pengaruh Dinasti Qajar). Namun begitu, Iran tetap mengekalkan kemerdekaan dan wilayah-wilayahnya, menjadikannya unik di rantau itu. Permodenan Iran yang bermula pada lewat kurun ke sembilan belas, membangkitkan keinginan untuk berubah oleh orang-orang Parsi. Ini menyebabkan berlakunya Revolusi Perlembagaan Parsi pada tahun 1905 hingga 1911. Pada tahun 1921, Reza Khan (juga dikenali sebagai Reza Shah) mengambil alih takhta melalui rampasan kuasa daripada Qajari yang semakin lemah. Sebagai penyokong permodenan, Shah Reza memulakan pembangunan industri moden, jalan kereta api, dan penubuhan sistem pendidikan tinggi di Iran. Malangnya, sikap aristokratik dan ketidakseimbangan pemulihan kemasyarakatan menyebabkan ramai rakyat Iran tidak berpuas hati.

    Ketika Perang Dunia Kedua, tentera Inggeris dan Kesatuan Soviet menceroboh Iran dari 25 Ogos hingga 17 September 1941, untuk menyekat kuasa-kuasa paksi dan mengawal infrastruktur penggalian minyak Iran. Kuasa-kuasa bersekutu memaksa Shah untuk melantik anak beliau, Mohammad Reza Pahlavi menggantikan beliau, dengan harapan Mohammad Reza menyokong mereka.

    Malangnya, pemerintahan Shah Mohammad Reza bersifat autokratik. Dengan bantuan dari Amerika dan Inggeris, Shah meneruskan permodenan Industri Iran, tetapi pada masa yang sama menghancurkan parti-parti pembangkang melalui badan perisikannya, SAVAK. Ayatollah Ruhollah Khomeini menjadi pembangkang dan pengkritik aktif terhadap pemerintahan Shah Mohammad Reza dan kemudiannya beliau dipenjarakan selama lapan belas bulan. Melalui nasihat general Hassan Pakravan, Khomeini dibuang negeri dan dihantar ke Turki dan selepas itu ke Iraq.

    Revolusi Islam dan Perang Iran Iraq (1979–88)

    [sunting | sunting sumber]

    Protes menentang Shah semakin meningkat dan akhirnya terjadilah Revolusi Iran. Shah Iran terpaksa melarikan diri ke negara lain selepas kembalinya Khomeini dari buangan pada 1 Februari 1979. Khomeini kemudiannya mengambil alih kuasa dan membentuk kerajaan sementara, pada 11 Februari yang dikepalai Mehdi Bazargan sebagai perdana menteri. Selepas itu, Khomeini membuat pungutan suara bagi membentuk sebuah Republik Islam. Keputusan undian menunjukkan lebih 98% rakyat Iran bersetuju dengan pembentukan itu. Sistem kerajaan baru yang dibentuk adalah berasaskan undang-undang Islam yang konservatif.

    Tetapi, hubungan Iran dengan Amerika menjadi keruh selepas revolusi ini, terutamanya apabila mahasiswa-mahasiswa Iran menawan kedutaan Amerika pada 4 November 1979, atas alasan kedutaan itu menjadi pusat perisikan Amerika. Khomeini pula tidak mengambil sebarang tindakan mengenai tawanan ini sebaliknya memuji mahasiswa-mahasiswa itu. Sebagai tukaran, Iran mahukan Shah Mohammad Reza Pahlavi dikembalikan ke Iran, tetapi ini tidak dipersetujui Amerika. Selepas 444 hari didalam tawanan, akhirnya tebusan-tebusan itu dibebaskan menerusi Deklarasi Algiers.

    Pada masa yang sama, Saddam Hussein, presiden Iraq ketika itu, mengambil kesempatan diatas kekabutan selepas revolusi Iran dan juga kekurangan populariti Iran di negara-negara barat, untuk melancarkan perang ke atas Iran. Tujuan utama peperangan ini ialah bagi menakluk beberapa wilayah yang dituntut Iraq, terutamanya wilayah Khuzestan yang kaya dengan sumber minyak. Saddam pula ketika itu mendapat sokongan dari Amerika, Kesatuan Soviet dan beberapa negara Arab lain. Tentera Iran pula yang suatu masa dahulu merupakan sebuah tentera yang kuat, telah dibubarkan ketika itu. Walau bagaimanapun, mereka berjaya menyekat kemaraan tentera Iraq seterusnya menawan semula wilayah Iran yang ditakluki Iraq. Dalam peperangan ini puluhan ribu nyawa, baik penduduk awam mahupun askar Iran, terkorban. Kebanyakan mereka mati kerana serangan senjata kimia yang digunakan oleh Iraq. Jumlah korban dianggarkan antara 500,000 hingga 1,000,000, menjadikannya sebagai jumlah korban senjata kimia kedua terbesar dalam sejarah manusia.

    Kerajaan dan politik

    [sunting | sunting sumber]

    Iran ialah sebuah republik Islam yang sistem politiknya menggabungkan institusi perwakilan yang dipilih, termasuk presiden, Majlis Perundingan Islam dan majlis tempatan, dengan institusi penyeliaan keagamaan seperti Pemimpin Agung dan Majlis Wali. Susunan ini berasaskan Perlembagaan Republik Islam Iran (Parsi: قانون اساسی جمهوری اسلامی ایران), yang diterima pakai pada 1979 dan dipinda secara besar-besaran pada 1989. Perkara 57 Perlembagaan meletakkan kuasa perundangan, eksekutif dan kehakiman sebagai cabang yang berasingan tetapi berfungsi di bawah penyeliaan kepimpinan menurut prinsip wilayat al-faqih, iaitu perwalian ahli fikah.[6][7]

    Walaupun beberapa institusi utama dipilih melalui pengundian umum, pilihan raya nasional berlangsung dalam kerangka institusi Republik Islam. Majlis Wali menyelia pilihan raya presiden, Majlis Perundingan Islam dan Majlis Pakar, serta menyaring kelayakan calon sebelum pilihan raya. Oleh itu, pengundi memilih antara calon yang terlebih dahulu melepasi proses kelayakan tersebut.[6][8]

    Pemimpin Agung

    [sunting | sunting sumber]
    Potret Mojtaba Khamenei
    Mojtaba Khamenei, Pemimpin Agung Iran sejak Mac 2026.[9]

    Pemimpin Agung ialah jawatan tertinggi dalam struktur politik Republik Islam. Menurut Perkara 110 Perlembagaan, Pemimpin Agung menetapkan dasar umum negara selepas berunding dengan Majlis Penentuan Kemaslahatan Sistem, menyelia pelaksanaan dasar tersebut, mengeluarkan perintah bagi referendum dan memegang pemerintahan tertinggi angkatan tentera. Beliau juga mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan perang, damai dan pengerahan angkatan tentera serta melantik atau memecat beberapa pemegang jawatan utama, termasuk enam ahli fikah dalam Majlis Wali, ketua badan kehakiman, ketua penyiaran negara serta beberapa panglima tertinggi tentera dan Kor Pengawal Revolusi Islam.[6]

    Pemimpin Agung turut memperakukan secara rasmi keputusan pilihan raya presiden. Perlembagaan membenarkan beliau memecat presiden selepas keputusan Mahkamah Agung bahawa presiden melanggar kewajipan perlembagaannya atau selepas Majlis Perundingan Islam memutuskan bahawa presiden tidak berkeupayaan menjalankan tugasnya menurut tatacara perlembagaan.[6]

    Pada 8 Mac 2026, Majlis Pakar memilih Mojtaba Khamenei sebagai Pemimpin Agung untuk menggantikan bapanya, Ali Khamenei, yang meninggal dunia pada penghujung Februari tahun tersebut.[9] Perkara 111 memperuntukkan bahawa Majlis Pakar boleh memecat Pemimpin Agung sekiranya beliau tidak lagi mampu melaksanakan kewajipan perlembagaannya atau kehilangan kelayakan yang ditetapkan dalam Perlembagaan.[6]

    Majlis Pakar

    [sunting | sunting sumber]

    Majlis Pakar (Parsi: مجلس خبرگان رهبری, Majles-e Khobregan-e Rahbari) ialah badan yang diberi kuasa perlembagaan untuk memilih dan, dalam keadaan yang ditetapkan oleh Perlembagaan, memecat Pemimpin Agung. Ahlinya dipilih melalui pengundian umum, manakala calon perlu melepasi proses kelayakan oleh Majlis Wali. Majlis yang dipilih pada 2024 mempunyai 88 orang ahli.[8] Penggal keahliannya berlangsung selama lapan tahun.[10]

    Perkara 107 memperuntukkan bahawa anggota Majlis Pakar yang dipilih rakyat menilai calon yang memenuhi syarat kepimpinan dalam Perlembagaan sebelum memilih Pemimpin Agung. Perkara 111 pula memberi badan itu tanggungjawab menentukan sama ada seorang Pemimpin Agung telah hilang kelayakan atau tidak lagi berupaya menjalankan tugasnya.[6] Peranan perlembagaan ini digunakan secara langsung pada Mac 2026 apabila Majlis Pakar memilih Mojtaba Khamenei sebagai pengganti Ali Khamenei.[9]

    Presiden dan eksekutif

    [sunting | sunting sumber]

    Selepas Pemimpin Agung, presiden merupakan pegawai tertinggi negara menurut Perkara 113 Perlembagaan. Presiden bertanggungjawab melaksanakan Perlembagaan dan mengetuai cabang eksekutif, kecuali dalam perkara yang diletakkan secara langsung di bawah bidang kuasa Pemimpin Agung. Presiden dipilih secara langsung untuk penggal empat tahun dan hanya boleh dipilih semula bagi satu penggal berturut-turut.[6]

    Masoud Pezeshkian dipilih sebagai presiden dalam pusingan kedua pilihan raya presiden 2024, yang diadakan lebih awal selepas kematian Presiden Ebrahim Raisi. Menurut keputusan akhir yang diumumkan oleh ibu pejabat pilihan raya Iran, Pezeshkian memperoleh 16,384,403 undi berbanding 13,538,179 undi yang diterima Saeed Jalili.[11] Pezeshkian masih memegang jawatan presiden setakat Ogos 2026.[12]

    Presiden menamakan para menteri yang membentuk Majlis Menteri, manakala kabinet perlu memperoleh undi percaya Majlis Perundingan Islam. Presiden juga boleh melantik seorang atau lebih naib presiden; Naib Presiden Pertama menyelaras tugas anggota kabinet dan naib presiden lain dengan persetujuan presiden. Menteri boleh dipanggil untuk menjawab soalan di parlimen dan tertakluk pada proses undi tidak percaya. Berbeza dengan banyak sistem presidensial, presiden Iran bukan pemerintah tertinggi angkatan tentera kerana kuasa tersebut diberikan kepada Pemimpin Agung.[6]

    Majlis Perundingan Islam

    [sunting | sunting sumber]
    Dewan persidangan Majlis Perundingan Islam
    Dewan persidangan Majlis Perundingan Islam pada 2024.

    Badan perundangan kebangsaan ialah Majlis Perundingan Islam (Parsi: مجلس شورای اسلامی, Majles-e Shura-ye Eslami), sebuah badan perundangan satu dewan yang mempunyai 290 kerusi. Wakil dipilih secara langsung melalui undi rahsia bagi penggal empat tahun.[6][8] Lima kerusi diperuntukkan kepada minoriti agama yang diiktiraf oleh Perlembagaan, iaitu masing-masing satu untuk penganut Zoroastrianisme dan Yahudi, satu kerusi bersama untuk penganut Kristian Assyria dan Chaldea serta dua kerusi bagi masyarakat Armenia di utara dan selatan Iran.[6]

    Majlis mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam lingkungan yang ditetapkan oleh Perlembagaan, menyiasat hal ehwal negara dan meluluskan perjanjian, protokol serta persetujuan antarabangsa. Ia turut mengawasi cabang eksekutif melalui undi percaya, pertanyaan kepada menteri dan mekanisme undi tidak percaya. Walau bagaimanapun, undang-undang yang diluluskan Majlis perlu melalui semakan Majlis Wali sebelum boleh berkuat kuasa.[6]

    Mohammad Bagher Ghalibaf ialah Yang Dipertua Majlis Perundingan Islam setakat Ogos 2026.[13]

    Majlis Wali

    [sunting | sunting sumber]

    Majlis Wali (Parsi: شورای نگهبان) terdiri daripada 12 orang anggota yang berkhidmat selama enam tahun. Enam daripadanya ialah ahli fikah yang dipilih secara langsung oleh Pemimpin Agung. Enam lagi ialah pakar undang-undang dalam pelbagai bidang yang dipilih oleh Majlis Perundingan Islam daripada calon yang dikemukakan oleh ketua badan kehakiman.[6]

    Semua undang-undang yang diluluskan oleh Majlis Perundingan Islam mesti dikemukakan kepada Majlis Wali. Badan itu menilai sama ada undang-undang tersebut selaras dengan prinsip Islam dan Perlembagaan; undang-undang yang didapati tidak selaras dikembalikan kepada parlimen untuk disemak semula. Majlis Wali juga mempunyai kuasa mentafsir Perlembagaan, dengan tafsiran memerlukan persetujuan tiga perempat daripada anggotanya.[6]

    Selain peranan perundangannya, Majlis Wali menyelia pilihan raya presiden, Majlis Perundingan Islam, Majlis Pakar dan referendum. Dalam amalan pilihan raya, badan ini turut menjalankan proses kelayakan calon. Sebagai contoh, menjelang pilihan raya 2024, Majlis Wali menyaring calon bagi kedua-dua Majlis Perundingan Islam dan Majlis Pakar sebelum nama mereka dibenarkan muncul dalam pilihan raya.[8]

    Majlis Penentuan Kemaslahatan Sistem

    [sunting | sunting sumber]

    Majlis Penentuan Kemaslahatan Sistem (Parsi: مجمع تشخیص مصلحت نظام), yang lazimnya dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai Expediency Discernment Council, memainkan peranan pengantaraan apabila timbul kebuntuan antara Majlis Perundingan Islam dengan Majlis Wali. Menurut Perkara 112, badan itu boleh bersidang atas arahan Pemimpin Agung apabila Majlis Wali menolak sesuatu rang undang-undang atas alasan ketidakselarasan dengan syariah atau Perlembagaan tetapi parlimen tidak dapat memenuhi bantahan tersebut.[6]

    Majlis ini turut menimbangkan perkara yang dirujuk kepadanya oleh Pemimpin Agung dan mempunyai fungsi penasihat dalam penetapan dasar umum negara. Anggota tetap dan tidak tetapnya dilantik oleh Pemimpin Agung.[6][7]

    Kehakiman

    [sunting | sunting sumber]

    Perlembagaan menetapkan badan kehakiman sebagai cabang bebas yang bertanggungjawab menyelesaikan pertikaian, melindungi hak individu dan masyarakat, menegakkan keadilan, mengawasi pelaksanaan undang-undang serta menangani kesalahan jenayah. Pemimpin Agung melantik ketua badan kehakiman untuk penggal lima tahun. Ketua badan kehakiman pula bertanggungjawab terhadap organisasi sistem kehakiman, penyediaan rang undang-undang berkaitan kehakiman serta pelantikan, pemindahan dan pemecatan hakim mengikut undang-undang.[6]

    Mahkamah Agung Iran bertanggungjawab mengawasi pelaksanaan undang-undang yang betul oleh mahkamah dan memastikan keseragaman tatacara kehakiman. Ketua Mahkamah Agung dan Pendakwa Raya Negara dilantik oleh ketua badan kehakiman mengikut syarat yang ditetapkan dalam Perlembagaan.[6]

    Gholam-Hossein Mohseni-Eje'i dilantik semula sebagai ketua badan kehakiman oleh Mojtaba Khamenei pada Julai 2026 bagi penggal lima tahun yang baharu, selaras dengan Perkara 157 Perlembagaan.[14]

    Majlis Keselamatan Negara Tertinggi

    [sunting | sunting sumber]

    Majlis Keselamatan Negara Tertinggi (Parsi: شورای عالی امنیت ملی) ialah badan perlembagaan yang menyelaras dasar pertahanan dan keselamatan negara. Menurut Perkara 176, majlis ini dipengerusikan oleh presiden dan menentukan dasar pertahanan serta keselamatan dalam rangka dasar umum yang ditetapkan oleh Pemimpin Agung. Ia juga menyelaras kegiatan politik, perisikan, sosial, kebudayaan dan ekonomi yang berkaitan dengan pertahanan dan keselamatan.[6]

    Keanggotaannya merangkumi ketua ketiga-tiga cabang kerajaan, pegawai kanan angkatan tentera, dua wakil Pemimpin Agung dan beberapa menteri berkaitan, termasuk menteri luar negeri, dalam negeri dan perisikan. Keputusan majlis hanya berkuat kuasa selepas diperakukan oleh Pemimpin Agung.[6] Mohsen Rezaei dilantik sebagai setiausaha majlis pada 10 Ogos 2026, menggantikan Mohammad Baqer Zolqadr; beliau turut dilantik sebagai wakil Pemimpin Agung dalam majlis tersebut.[15]

    Majlis tempatan

    [sunting | sunting sumber]

    Perkara 100 Perlembagaan memperuntukkan majlis yang dipilih penduduk setempat untuk menyelia hal ehwal tempatan dan membantu pelaksanaan program sosial, ekonomi, pembangunan, kesihatan awam, kebudayaan, pendidikan dan kebajikan mengikut keperluan setempat. Sistem ini merangkumi majlis pada beberapa peringkat pentadbiran, daripada kampung dan bandar hingga wilayah.[6]

    Perundangan semasa mengenai majlis Islam tempatan menetapkan penggal empat tahun bagi majlis bandar dan kampung. Majlis bandar bertanggungjawab memilih datuk bandar mengikut syarat yang ditetapkan undang-undang; pelantikan rasmi datuk bandar dibuat oleh Menteri Dalam Negeri bagi bandar berpenduduk melebihi 200,000 orang dan ibu wilayah, manakala bagi bandar lain pelantikan rasmi dibuat oleh gabenor wilayah atas cadangan majlis bandar.[16]

    Hubungan luar

    [sunting | sunting sumber]

    Dalam hubungan antarabangsa, Iran ialah antara 51 anggota asal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1945.[17] Iran juga merupakan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.[18][19]

    Peta geografi Iran yang menunjukkan relief, banjaran gunung, gurun dan perairan utama.
    Peta geografi Iran yang memperlihatkan relief, banjaran gunung, gurun dan perairan utama.

    Iran terletak di Asia Barat dan mempunyai keluasan 1,648,195 km². Negara ini bersempadan dengan Armenia, Azerbaijan dan Turkmenistan di utara, Afghanistan dan Pakistan di timur, serta Iraq dan Turki di barat. Laut Kaspia terletak di sepanjang sempadan utaranya, manakala pesisir selatan Iran menghadap Teluk Parsi dan Teluk Oman.[20] Bentuk muka bumi negara ini didominasi oleh Dataran Tinggi Iran, banjaran gunung yang mengelilinginya dan sejumlah besar lembangan pedalaman.[21]

    Bentuk muka bumi dan saliran

    [sunting | sunting sumber]

    Secara fisiografi, Iran boleh dibahagikan kepada lima kawasan semula jadi utama, iaitu dataran rendah Kaspia; sistem Alborz dan pergunungan Khorasan; Dataran Tinggi Iran; sistem Zagros dan pergunungan Makran; serta dataran rendah di sepanjang Teluk Parsi.[21] Pergunungan meliputi lebih separuh wilayah negara.[20] Alborz membentuk penghalang topografi di selatan Laut Kaspia dan memisahkan dataran rendah pesisir yang lembap daripada kawasan pedalaman yang lebih kering, manakala Zagros memanjang dari barat laut ke tenggara merentasi bahagian barat dan barat daya Iran.[21]

    Gunung Damavand di Alborz ialah puncak tertinggi Iran, dengan ketinggian sekitar 5,610 m dari aras laut.[22] Perbezaan ketinggian yang besar antara kawasan pergunungan, dataran tinggi dan dataran pesisir menghasilkan landskap yang sangat berbeza dalam jarak yang agak dekat. Di utara, dataran rendah Kaspia membentuk jalur sempit antara Alborz dengan laut, sementara di barat daya terdapat dataran rendah yang lebih luas di Khuzestan dan sepanjang Teluk Parsi.

    Struktur pergunungan Iran turut menentukan corak salirannya. Empat kawasan saliran utama ialah lembangan Laut Kaspia, lembangan Tasik Urmia, sistem saliran Teluk Parsi dan lembangan pedalaman.[23] Sebahagian besar kawasan tengah dan timur bersifat endoreik, iaitu air permukaannya mengalir ke lembangan tertutup dan bukannya terus ke lautan. Aliran di kawasan ini kebanyakannya bermusim dan berakhir di tasik masin, dataran garam atau lekukan gurun. Dasht-e Kavir dan Dasht-e Lut merupakan antara lembangan gurun utama di pedalaman, sedangkan sungai-sungai yang berpunca di Zagros barat mengalir ke sistem Teluk Parsi. Antaranya ialah Sungai Karun, salah sebuah sungai utama di barat daya Iran.[23]

    Dasht-e Lut di tenggara merupakan sebuah lembangan pedalaman hipergersang yang terletak dalam kawasan lindungan hujan. Hakisan angin yang kuat telah membentuk medan yardang, gurun berbatu dan lapangan bukit pasir yang luas di kawasan ini. Oleh sebab kepelbagaian dan skala bentuk muka bumi gurunnya, Gurun Lut telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 2016.[24]

    Iran mempunyai kepelbagaian iklim yang ketara akibat keluasan wilayah, ketinggian dan bentuk muka buminya. Sebahagian besar negara beriklim gersang atau separa gersang, manakala lereng utara Alborz dan dataran rendah Kaspia mempunyai iklim subtropika lembap. Kawasan tanah tinggi Alborz dan Zagros pula lebih sejuk dan menerima lebih banyak kerpasan berbanding dataran tinggi tengah.[25] Alborz dan Zagros bertindak sebagai penghalang kepada jisim udara lembap dari Laut Kaspia dan Mediterranean, sekali gus mewujudkan perbezaan ketara antara cerun luar yang lebih lembap dengan kawasan pedalaman yang berada dalam lindungan hujan.[25]

    Dataran rendah Kaspia merupakan antara kawasan paling lembap di Iran. Kerpasan tahunan meningkat daripada kira-kira 680 mm di bahagian timur dataran tersebut kepada lebih 1,700 mm di bahagian barat, sementara suhu musim panas lazimnya tidak melebihi 29 °C. Di kawasan Zagros barat, musim sejuk lebih dingin dan salji lebat lazim berlaku di kawasan tinggi.[20] Sebaliknya, lembangan tengah dan timur jauh lebih kering, dengan banyak kawasan menerima kurang daripada 200 mm hujan setahun dan suhu purata musim panas yang boleh melebihi 38 °C. Keadaan ini menyumbang kepada keluasan padang pasir dan tasik garam di pedalaman Iran.[20]

    Di sepanjang pesisir Teluk Parsi dan Teluk Oman, musim sejuk secara umumnya sederhana, tetapi musim panas sangat panas dan lembap. Kerpasan tahunan di kawasan pesisir selatan lazimnya rendah, sekitar 135 hingga 355 mm.[20] Secara keseluruhannya, sebahagian besar Iran mengalami musim panas yang kering dan menerima kebanyakan kerpasan pada bahagian tahun yang lebih sejuk, walaupun corak ini berbeza di kawasan Kaspia yang lebih lembap sepanjang tahun.[25]

    Iran mempunyai ekonomi campuran yang menggabungkan sektor kerajaan, koperasi dan swasta, dengan negara mengekalkan peranan penting dalam beberapa bidang strategik. Perkara 44 Perlembagaan Republik Islam Iran secara rasmi membahagikan ekonomi kepada tiga sektor tersebut dan menetapkan pemilikan negara dalam pelbagai industri utama, termasuk perlombongan utama, perbankan, insurans, tenaga dan rangkaian pengangkutan.[26] Selepas Revolusi 1979, pengambilalihan banyak syarikat swasta oleh negara dan peluasan sektor awam meningkatkan lagi peranan kerajaan dalam ekonomi. Sebahagian aset turut dipindahkan kepada yayasan separa awam yang dikenali sebagai bonyad, yang menjadi salah satu ciri struktur ekonomi pascarevolusi.[27]

    Dasar umum Perkara 44 yang dikeluarkan pada 2005 kemudiannya memperluas ruang bagi pemilikan bukan kerajaan dan penswastaan syarikat milik negara. Dasar tersebut membenarkan pemindahan sehingga 80 peratus saham dalam pelbagai kegiatan ekonomi milik kerajaan kepada sektor swasta, koperasi dan entiti awam bukan kerajaan, dengan beberapa pengecualian termasuk kegiatan pengekstrakan dan pengeluaran minyak dan gas serta institusi strategik tertentu.[28] Walaupun proses ini memperluas sektor bukan kerajaan, Bank Dunia masih menyifatkan kehadiran negara sebagai ketara dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan kewangan.[29]

    Struktur dan sektor utama

    [sunting | sunting sumber]

    Ekonomi Iran agak pelbagai berbanding kebanyakan negara pengeksport minyak di Timur Tengah, dengan kegiatan penting dalam sektor hidrokarbon, pertanian, perindustrian dan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, kegiatan ekonomi dan hasil kerajaan masih banyak dipengaruhi oleh pendapatan minyak, menyebabkan pertumbuhan dan kedudukan fiskal negara terdedah kepada perubahan harga tenaga serta sekatan terhadap eksport minyak.[29] Pada 2025, sektor perkhidmatan menyumbang 47.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK),[30] manakala industri termasuk pembinaan menyumbang 39.6 peratus[31] dan pertanian, perhutanan serta perikanan 10.6 peratus.[32]

    Minyak dan gas asli

    [sunting | sunting sumber]
    Pemandangan kemudahan darat Pars Selatan berhampiran Asaluyeh
    Kemudahan darat Pars Selatan berhampiran Asaluyeh pada 2013.

    Petroleum dan gas asli mempunyai kedudukan penting dalam ekonomi Iran. Negara ini memiliki antara rizab terbukti minyak mentah dan gas asli terbesar di dunia. Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA), pada akhir 2023 Iran mempunyai rizab minyak terbukti ketiga terbesar dan rizab gas asli kedua terbesar di dunia. Iran juga merupakan pengeluar minyak mentah keempat terbesar dalam Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada 2023.[33]

    Eksport petroleum dan cecair hidrokarbon lain merupakan sumber penting hasil kerajaan dan pendapatan eksport, meskipun kepentingannya berubah mengikut harga dan jumlah eksport. Pengeluaran pula dibatasi oleh kekurangan pelaburan dan sekatan antarabangsa yang menjejaskan akses kepada pembiayaan, teknologi serta pasaran tertentu.[33] Medan gas Pars Selatan di Teluk Parsi ialah pusat utama pengeluaran gas asli Iran dan mengandungi sebahagian besar rizab gas negara.[34]

    Prestasi makroekonomi

    [sunting | sunting sumber]

    Prestasi ekonomi Iran berubah dengan ketara mengikut keadaan pasaran tenaga, dasar ekonomi dalam negeri, sekatan dan perkembangan geopolitik. Selepas mencatat pertumbuhan KDNK sebenar sebanyak 5.3 peratus pada tahun Iran 2023/24 dan 3.7 peratus pada 2024/25, Bank Dunia menganggarkan ekonomi menguncup 2.7 peratus pada 2025/26, iaitu tahun Iran yang berakhir pada 20 Mac 2026. Dalam tempoh yang sama, sektor pertanian dianggarkan menguncup 4.7 peratus dan industri 5.4 peratus, sementara sektor perkhidmatan berkembang hanya 0.3 peratus.[35]

    Inflasi kekal sebagai salah satu tekanan ekonomi utama. Bank Dunia menganggarkan purata inflasi harga pengguna sebanyak 49.1 peratus pada 2025/26, berbanding 40.2 peratus pada tahun sebelumnya. Penyusutan nilai rial, kekurangan barangan import tertentu, gangguan tenaga dan air serta ketidakpastian pelaburan turut menekan permintaan dalam negeri dan pendapatan benar isi rumah.[35] Dalam World Economic Outlook Update Julai 2026, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan KDNK sebenar Iran menguncup 5.4 peratus pada 2026 sebelum kemungkinan pemulihan pada 2027. IMF mengaitkan prospek tersebut antara lain dengan gangguan kepada pengeluaran dan pengangkutan tenaga serta keadaan geopolitik yang sangat tidak menentu.[36]

    Perdagangan luar dan sekatan

    [sunting | sunting sumber]

    Corak perdagangan Iran telah berubah dengan ketara berbanding dekad-dekad terdahulu, khususnya apabila perdagangan dengan ekonomi Asia dan negara jiran menjadi semakin penting. Menurut data perdagangan barangan yang dihimpunkan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), pada 2024 China merupakan destinasi eksport terbesar Iran dengan 26.0 peratus daripada eksport yang direkodkan, diikuti Iraq (20.9 peratus), Emiriah Arab Bersatu (12.8 peratus) dan Turki (10.9 peratus). Bagi import, Emiriah Arab Bersatu menyumbang 30.6 peratus, China 26.0 peratus dan Turki 16.3 peratus.[37] Data tersebut menunjukkan peralihan daripada corak perdagangan pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21 yang memberikan kedudukan lebih besar kepada beberapa ekonomi Eropah dan Asia Timur.

    Sekatan ekonomi terhadap Iran, khususnya sekatan Amerika Syarikat, terus mempengaruhi hubungan Iran dengan sistem kewangan dan perdagangan antarabangsa. Sehingga 2026, program sekatan Amerika Syarikat merangkumi antara lain sektor petroleum dan petrokimia, kewangan serta kegiatan berkaitan perkapalan dan perdagangan minyak, walaupun beberapa kategori urus niaga, termasuk perdagangan kemanusiaan tertentu, tertakluk pada pengecualian atau lesen.[38] Bank Dunia menilai bahawa sekatan kewangan, kesukaran mendapatkan perkhidmatan pengangkutan dan insurans antarabangsa serta gangguan laluan perdagangan terus mengehadkan perdagangan dan pelaburan, sekali gus menambah tekanan terhadap hasil minyak dan kewangan awam.[29][35]

    Komunikasi dan pengangkutan

    [sunting | sunting sumber]
    Peta Iran yang menunjukkan bandar, jalan raya dan laluan kereta api utama
    Peta Iran terbitan CIA pada 2001 yang menunjukkan jalan raya dan laluan kereta api utama ketika itu. Rangkaian pengangkutan telah berkembang sejak peta ini diterbitkan.

    Rangkaian pengangkutan Iran menghubungkan pusat-pusat penduduk dan perindustrian di kawasan pedalaman dengan pelabuhan di Teluk Parsi, Teluk Oman dan Laut Kaspia, di samping menyediakan hubungan darat dengan negara-negara jiran. Oleh sebab keluasan wilayahnya, pengangkutan antara bandar bergantung pada gabungan rangkaian jalan raya dan kereta api, manakala pelabuhan dan pengangkutan udara memainkan peranan penting dalam perhubungan jarak jauh dan perdagangan. Infrastruktur komunikasi negara pula merangkumi rangkaian telefon tetap dan mudah alih, jalur lebar serta Internet.

    Jalan raya dan kereta api

    [sunting | sunting sumber]

    Jalan raya mempunyai peranan besar dalam pengangkutan penumpang dan barangan antara bandar serta menghubungkan kawasan bandar dengan penempatan luar bandar. Menurut seorang wakil Organisasi Penyelenggaraan Jalan Raya dan Pengangkutan Iran (bahasa Inggeris: Road Maintenance and Transportation Organization, RMTO), lebih 555 juta tan barangan diangkut melalui jalan raya antara 31 wilayah Iran dalam tahun kalendar Iran yang berlangsung dari 21 Mac 2023 hingga 19 Mac 2024.[39]

    Rangkaian kereta api kebangsaan dikendalikan melalui Kereta Api Republik Islam Iran (RAI). Statistik Kesatuan Kereta Api Antarabangsa (UIC) merekodkan 9,556 km laluan bagi RAI pada 2022.[40] Teras bersejarah rangkaian ini ialah Kereta Api Trans-Iran, laluan sepanjang 1,394 km yang menghubungkan kawasan Laut Kaspia di utara dengan pesisir Teluk Parsi di selatan. Pembinaannya bermula pada 1927 dan siap pada 1938. Laluan tersebut, yang merentasi banjaran Alborz dan Zagros serta menggunakan banyak jambatan dan terowong untuk mengatasi bentuk muka bumi bergunung-ganang, dimasukkan ke dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO pada 2021.[41]

    Pembangunan rangkaian kereta api turut berkait dengan usaha memperkukuh laluan perdagangan serantau. Pada 20 Jun 2024, sambungan sepanjang 37 km daripada laluan Qazvin–Rasht ke pelabuhan Bandar Anzali di Laut Kaspia dibuka. Sambungan itu membentuk satu lagi bahagian Koridor Pengangkutan Utara-Selatan Antarabangsa, yang dirancang untuk memudahkan pengangkutan antara kawasan Lautan Hindi dan Teluk Parsi dengan Rusia dan Eropah melalui Iran.[42]

    Pelabuhan dan pengangkutan laut

    [sunting | sunting sumber]
    Pemandangan Pelabuhan Shahid Rajaee
    Pemandangan Pelabuhan Shahid Rajaee berhampiran Bandar Abbas pada Januari 2020.

    Pelabuhan-pelabuhan Iran terletak di tiga kawasan maritim utama, iaitu Teluk Parsi, Teluk Oman dan Laut Kaspia. Bandar Abbas, yang terletak berhampiran Selat Hormuz, merupakan salah satu pusat utama pengangkutan laut negara. Di kawasan ini, Pelabuhan Shahid Rajaee berfungsi sebagai pintu masuk utama bagi pengangkutan kontena dan disambungkan terus dengan rangkaian jalan raya serta kereta api. Menurut Organisasi Pelabuhan dan Maritim Iran (PMO), pelabuhan tersebut mengendalikan lebih 75 juta tan kargo setahun dan lebih 85 peratus trafik kontena Iran.[43]

    Pelabuhan penting lain di pesisir selatan termasuk Pelabuhan Imam Khomeini di Khuzestan, Bushehr dan Chabahar. Chabahar terletak di Teluk Oman dan memberikan Iran akses langsung ke Laut Arab tanpa perlu melalui Selat Hormuz. Di utara, Bandar Anzali dan Pelabuhan Amirabad menyediakan kemudahan perdagangan dan pengangkutan di Laut Kaspia. Hubungan jalan raya dan kereta api antara pelabuhan dengan kawasan pedalaman membolehkan Iran berfungsi sebagai negara transit bagi sebahagian perdagangan antara Asia Tengah, Kaukasus dan laluan maritim di selatan.

    Pengangkutan udara

    [sunting | sunting sumber]

    Pengangkutan udara menyediakan hubungan antara Tehran dengan pusat wilayah dan bandar utama lain, di samping penerbangan antarabangsa ke negara-negara di Asia, Timur Tengah dan Eropah. Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini merupakan lapangan terbang antarabangsa utama bagi Tehran, manakala Lapangan Terbang Mehrabad merupakan pusat penting bagi penerbangan domestik.

    Menurut siri data Bank Dunia yang bersumberkan statistik Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), syarikat penerbangan yang berdaftar di Iran mengangkut kira-kira 18.1 juta penumpang pada 2023.[44] Iran Air ialah syarikat penerbangan pembawa bendera Iran.[45] Beberapa syarikat penerbangan Iran yang lain turut menyediakan perkhidmatan domestik dan antarabangsa, termasuk Iran Aseman Airlines dan Iran Airtour.

    Pengangkutan bandar

    [sunting | sunting sumber]

    Pengangkutan awam di kawasan metropolitan merangkumi bas, teksi dan sistem rel bandar. Metro Tehran menjadi teras pengangkutan rel di ibu negara dan rangkaiannya telah diperluas secara berperingkat sejak mula beroperasi. Sistem metro atau rel bandar turut beroperasi di Mashhad, Shiraz, Tabriz, Isfahan dan Karaj. Karaj, yang sebelum ini telah dihubungkan dengan Tehran melalui Laluan 5 Metro Tehran, membuka bahagian pertama laluan metro bandarnya sendiri pada Februari 2023 dan melanjutkannya pada September 2025.[46] Projek rel bandar lain berada pada tahap pembangunan yang berbeza-beza di beberapa bandar Iran.[47]

    Telekomunikasi dan Internet

    [sunting | sunting sumber]

    Dasar teknologi maklumat dan komunikasi berada di bawah Kementerian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Iran, manakala Pihak Berkuasa Kawal Selia Komunikasi Iran (CRA) bertindak sebagai badan kawal selia telekomunikasi negara.[48] Penggunaan komunikasi mudah alih adalah meluas. Data Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) yang diterbitkan melalui Bank Dunia merekodkan kira-kira 174 langganan telefon mudah alih bagi setiap 100 penduduk pada 2024.[49] Angka melebihi 100 langganan bagi setiap 100 penduduk mencerminkan kemungkinan seseorang mempunyai lebih daripada satu kad SIM atau langganan aktif dan tidak bermaksud setiap penduduk memiliki lebih daripada satu telefon.

    Iran turut membangunkan Rangkaian Maklumat Nasional (NIN), iaitu infrastruktur rangkaian domestik yang membolehkan sebahagian perkhidmatan dan kandungan dalam negara beroperasi secara berasingan daripada Internet global. Akses kepada Internet antarabangsa, bagaimanapun, tertakluk kepada penapisan dan gangguan yang diperintahkan pihak berkuasa. Laporan Freedom on the Net 2025 oleh Freedom House menyatakan bahawa ribuan laman sesawang dan kebanyakan platform media sosial utama terus disekat atau ditapis, serta merekodkan penutupan Internet hampir menyeluruh di seluruh negara pada Jun 2025. Laporan itu juga menyatakan bahawa pembangunan NIN telah meningkatkan keupayaan pihak berkuasa untuk mengekalkan perkhidmatan domestik ketika sambungan ke Internet global dihadkan.[50]

    Pentadbiran

    [sunting | sunting sumber]
    wilayah-wilayah Iran mengikut nombor di sebelah kiri
    wilayah-wilayah Iran mengikut nombor di sebelah kiri

    Iran dibahagikan kepada tiga puluh wilayah yang diperintahi seorang governor (استاندار, ostāndār). Peta di sebelah tidak menunjukkan wilayah Hormozgan, (#20 di dalam senarai) yang merupakan sebuah pulau:

    Demografi

    [sunting | sunting sumber]

    Banci Penduduk dan Perumahan Kebangsaan 2016 merekodkan 79,926,270 orang penduduk di Iran. Pertumbuhan penduduk negara ini meningkat dengan amat pesat pada penghujung abad ke-20: antara banci 1976 dengan 1986, jumlah penduduk bertambah daripada kira-kira 34 juta kepada hampir 50 juta, bersamaan kadar pertumbuhan tahunan purata 3.9%. Kadar tersebut kemudiannya merosot dengan ketara dan mencapai 1.24% setahun antara 2011 dengan 2016.[51] Menurut anggaran Bank Dunia, jumlah penduduk Iran mencapai 92,417,681 orang pada 2025, dengan kadar pertumbuhan tahunan sekitar 0.9%.[52]

    Perubahan ini berkait rapat dengan peralihan demografi yang pesat. Kadar kesuburan keseluruhan menurun daripada kira-kira 6.2 kelahiran bagi setiap wanita pada 1986 kepada 2.5 pada 1996.[51] Penurunan berterusan pada dekad-dekad berikutnya dan kadar kesuburan dianggarkan sebanyak 1.7 kelahiran bagi setiap wanita pada 2024, iaitu di bawah aras penggantian penduduk sekitar 2.1.[53] Kesannya, struktur umur Iran sedang beralih daripada penduduk yang relatif muda kepada penduduk yang semakin menua. Satu kajian kes yang diterbitkan oleh HelpAge International dengan kerjasama Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) menganggarkan bahawa kira-kira satu pertiga daripada penduduk Iran boleh berumur 60 tahun atau lebih menjelang 2050.[54]

    Iran juga merupakan sebuah negara yang sangat membandar. Kira-kira 77% daripada penduduknya tinggal di kawasan bandar pada 2024.[55] Tahap celik huruf pula meningkat dengan ketara sepanjang beberapa dekad; data Institut Perangkaan UNESCO yang dihimpunkan oleh Bank Dunia menunjukkan bahawa 88.9% penduduk berumur 15 tahun ke atas celik huruf pada 2023.[56]

    Etnik dan bahasa

    [sunting | sunting sumber]

    Iran mempunyai kepelbagaian etnik dan bahasa yang ketara. Parsi merupakan kumpulan etnik terbesar, manakala kumpulan utama yang lain termasuk Azeri, Kurdi, Lur, Gilak, Mazandarani, Baloch, Arab dan Turkmen. Angka peratusan bagi setiap kumpulan berbeza-beza antara sumber; statistik rasmi secara tradisinya lebih banyak merekodkan bahasa yang digunakan dalam rumah tangga berbanding menyediakan satu pecahan etnik kebangsaan yang seragam.[57] Oleh sebab itu, anggaran lama yang memberikan peratusan etnik yang sangat khusus perlu ditafsir dengan berhati-hati.

    Bahasa Parsi ialah bahasa rasmi dan bahasa perantara utama negara. Antara bahasa lain yang digunakan secara meluas ialah bahasa Azeri, bahasa Kurdi, bahasa Luri, bahasa Gilaki, bahasa Mazandarani, bahasa Baloch, bahasa Arab dan bahasa Turkmen. Bahasa-bahasa ini tergolong dalam beberapa keluarga bahasa, terutamanya rumpun bahasa Iran dalam keluarga bahasa Indo-Eropah, rumpun bahasa Turkik dan rumpun bahasa Semitik.[58] Perkara 15 Perlembagaan Iran menetapkan bahasa dan tulisan Parsi sebagai bahasa dan tulisan rasmi serta mewajibkan penggunaannya dalam dokumen dan surat-menyurat rasmi serta buku teks, tetapi turut membenarkan penggunaan bahasa serantau dan suku kaum dalam media serta pengajaran kesusasteraan bahasa berkenaan di sekolah.[59]

    Sebahagian besar penduduk Iran beragama Islam. Banci 2016 merekodkan 79,598,054 orang Islam daripada keseluruhan 79,926,270 penduduk; banci yang sama turut merekodkan 130,158 orang Kristian, 23,109 orang Zoroaster dan 9,826 orang Yahudi, selain penduduk dalam kategori agama lain atau yang tidak menyatakan agama.[60] Dalam kalangan penduduk Islam, anggaran kerajaan Iran yang dilaporkan dalam International Religious Freedom Report Amerika Syarikat meletakkan penganut Syiah pada sekitar 90–95% dan Sunni pada sekitar 5–10%. Komuniti Sunni terutama terdapat dalam kalangan sebahagian penduduk Kurdi, Baloch, Turkmen dan Arab.[61]

    Perkara 12 Perlembagaan menetapkan Islam Syiah Dua Belas Imam bermazhab Jaafari sebagai agama rasmi negara, sambil memberikan pengiktirafan undang-undang tertentu kepada mazhab-mazhab Islam lain, termasuk Hanafi, Syafii, Maliki dan Hanbali.[59] Perkara 13 pula mengiktiraf warga Iran beragama Zoroaster, Yahudi dan Kristian sebagai satu-satunya minoriti agama bukan Islam yang diiktiraf secara perlembagaan. Komuniti lain, termasuk penganut Bahá'í, turut terdapat di Iran tetapi tidak termasuk dalam kategori minoriti agama yang diiktiraf oleh Perkara 13.[59][62]

    Perwakilan politik bagi minoriti agama yang diiktiraf turut diperuntukkan dalam Perkara 64 Perlembagaan. Daripada kerusi dalam Majlis Perundingan Islam, satu kerusi diperuntukkan kepada masyarakat Zoroaster, satu kepada masyarakat Yahudi, satu secara bersama kepada Kristian Assyria dan Chaldea, serta masing-masing satu kepada masyarakat Kristian Armenia di utara dan selatan Iran, menjadikan lima kerusi keseluruhannya.[59]

    Bandar-Bandar Utama

    [sunting | sunting sumber]

    Iran mempunyai kadar pertumbuhan kawasan bandar antara yang tertinggi di dunia. Dari tahun 1950 hingga tahun 2002, peratusan penduduk bandar meningkat dari 27 peratus hingga 60 peratus[63][64]. PBB menjangkakan pada tahun 2030, populasi di bandar akan mencecah 80 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Iran[64]. Tumpuan migrasi dalam negeri pula ialah Teheran yang merupakan bandar terbesar di Iran. Teheran mempunyai penduduk seramai 7,160,094 dan kawasan metropolisnya pula seramai 14 juta. Kebanyakan industri Iran bertumpu di kota ini. Antaranya ialah industri otomobil, elektronik dan elektrikal, pembuatan senjata api, tekstil, dan industri kimia. Berikut adalah lapan bandar terbesar Iran dan juga jumlah penduduknya.

    Ketenteraan

    [sunting | sunting sumber]
    Pasukan wanita dalam tentera Basij.

    Ketenteraan Iran terbahagi kepada dua pasukan iaitu pasukan tentera negara dan pasukan tentera revolusi. Pasukan tentera Iran keseluruhannya berjumlah seramai 545,000 pegawai.[65] Kedua-dua pasukan bersenjata ini diletakkan dibawah kuasa Menteri Pertahanan dan Logistik Pasukan Bersenjata Iran. [66]

    Tentera nasional Iran mempunyai 420,000 pegawai yang dibahagikan kepada tiga kumpulan utama iaitu Tentera Darat Iran sebanyak 350,000 pegawai, Tentera Laut Iran sebanyak 18,000 pegawai dan Tentera Udara Iran sebanyak 52,000 pegawai.[67] Tentera revolusi pula mempunyai seramai 125,000 pegawai yang terbahagi kepada lima cabang iaitu Pasukan Qods (pasukan khas), Basij (para-ketenteraan), Tentera Laut Revolusi, Tentera Udara Revolusi dan Tentera Darat Revolusi.[68]

    Tentera Basij adalah tentera para-ketenteraan yang mempunyai keahlian penuh seramai 90,000 askar dan juga 30,000 askar simpanan ditambah dengan 11 juta lelaki dan perempuan yang berkemampuan dalam mobiliti.[69]

    Kekuatan tentera Iran dirahsiakan daripada pengetahuan umum. Namun, pada tahun lepas, Iran mengumumkan pembangunan beberapa senjata seperti peluru berpandu Fajr-3, peluru berpandu Kowsar, peluru berpandu Fateh-110, peluru berpandu Shahab-3 dan beberapa pembinaan jentera tentera.

    Peluru berpandu Fajr-3 adalah antara pembangunan ketenteraan Iran yang paling berjaya buat masa ini. Ia dibina di Iran sendiri dan menggunakan bendalir minyak untuk pembakaran bahan api. Julat peluru berpandu ini dirahsiakan.

    Budaya Iran merangkumi tradisi yang berkembang sepanjang sejarah Iran pra-Islam dan Islam, dengan bahasa Parsi menjadi salah satu wahana utama kesusasteraan dan budaya bertulisnya. Tradisi Parsi juga berkembang merentasi sempadan Iran moden, khususnya di Asia Tengah, Anatolia dan Asia Selatan, manakala kehidupan budaya di Iran sendiri mencerminkan kepelbagaian wilayah dan masyarakatnya.[70][71] Warisan budaya ini merangkumi seni bina monumental, permaidani dan seni manuskrip, puisi klasik, muzik serantau dan klasik, teater ritual, pawagam serta tradisi masakan dan sukan. Sebahagian daripadanya turut diiktiraf melalui program warisan ketara dan tidak ketara UNESCO.[72][73]

    Simbol kebangsaan

    [sunting | sunting sumber]
    Bendera Iran yang terdiri daripada tiga jalur mendatar hijau, putih dan merah, dengan lambang merah di tengah.
    Bendera rasmi Iran.

    Bendera kebangsaan Iran ditetapkan oleh Perkara 18 Perlembagaan Republik Islam Iran. Bendera itu terdiri daripada tiga warna, iaitu hijau, putih dan merah, dengan lambang khas Republik Islam pada jalur putih serta ungkapan Allahu Akbar pada reka bentuknya.[74] Lambang Republik Islam yang digunakan pada bendera semasa berbeza daripada motif singa dan matahari yang mempunyai sejarah panjang dalam perlambangan Iran.

    Penggunaan panji dan lambang politik di wilayah Iran dapat dikesan sejak zaman purba. Motif singa dan matahari berkembang secara beransur-ansur pada zaman Islam dan, menjelang pemerintahan Shah Abbas I pada awal abad ke-17, telah dikenal sebagai lambang Parsi. Motif itu terus digunakan dalam pelbagai bentuk pada zaman-zaman berikutnya dan menjadi salah satu lambang sejarah Iran yang paling dikenali sebelum pembentukan Republik Islam.[75]

    Seni dan seni bina

    [sunting | sunting sumber]
    Relief batu yang menggambarkan beberapa tokoh di Persepolis.
    Relief di Apadana, Persepolis, sebahagian daripada seni monumental zaman Achaemenid.

    Seni dan seni bina Iran berkembang melalui beberapa zaman politik dan keagamaan dan merangkumi tinggalan bandar, istana, tempat ibadat, taman, kerja jubin, lukisan manuskrip, tekstil serta pelbagai seni hiasan. Sehingga 2026, UNESCO telah menyenaraikan 30 Tapak Warisan Dunia di Iran, yang terdiri daripada 28 tapak budaya dan dua tapak semula jadi.[72] Warisan budaya yang tersenarai merentasi tempoh daripada tapak prasejarah dan bandar purba hingga binaan Achaemenid, Sasanian dan Islam.

    Antara contoh utama zaman Achaemenid ialah Pasargadae, yang dibangunkan oleh Cyrus Agung, dan Persepolis, yang mula dibina oleh Darius I sekitar 518 SM. Kompleks istana Persepolis dibina di atas teres separa buatan dan separa semula jadi, dengan tangga monumental, dewan bertiang dan relief yang menggambarkan rombongan dari pelbagai bahagian empayar. UNESCO menganggapnya sebagai contoh penting seni bina, perancangan dan seni Achaemenid.[76]

    Selepas pengislaman Iran, tradisi seni bina terdahulu berinteraksi dengan bentuk dan fungsi seni bina Islam. Pada zaman Safawiyah, Isfahan menjadi pusat utama seni, seni bina dan perancangan bandar. Meidan Emam atau Naqsh-e Jahan, yang dibangunkan di bawah Shah Abbas I pada awal abad ke-17, menggabungkan ruang awam dengan Masjid Shah, Masjid Sheikh Lotfollah, istana Ali Qapu dan pintu masuk bazar Qeysariyeh. Kompleks itu menjadi pusat kegiatan politik, ekonomi, agama dan sosial ibu kota Safawiyah.[77] Pada zaman Qajar, Istana Golestan di Tehran memperlihatkan penggabungan tradisi seni dan kraf Parsi dengan pengaruh seni bina dan teknologi Eropah pada abad ke-19.[78]

    Seni hiasan mempunyai kedudukan penting dalam tradisi visual Iran. Permaidani Parsi mencapai tahap perkembangan yang tinggi pada zaman Safawiyah apabila naungan diraja, penglibatan pereka istana, bahan tempatan dan import serta perdagangan antarabangsa menggalakkan pengeluaran di bengkel istana, bandar dan kampung.[79] Lukisan miniatur pula berkembang rapat dengan penghasilan manuskrip dan kemudian turut diterapkan pada bahan lain. Seni miniatur yang dikongsi Iran dengan Azerbaijan, Turki dan Uzbekistan dimasukkan ke dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO pada 2020.[80] Tradisi hiasan seni bina terus hidup melalui kraf seperti ayeneh-kari, iaitu seni menyusun potongan cermin pada dinding, siling, kubah dan permukaan seni bina, yang dimasukkan ke dalam senarai UNESCO pada 2025.[81]

    Kesusasteraan

    [sunting | sunting sumber]
    Halaman manuskrip Shahnameh yang dihiasi lukisan berwarna dan iluminasi.
    Folio bergambar daripada Shahnameh Shah Tahmasp, dihasilkan di Tabriz sekitar 1530–1539.

    Kesusasteraan Parsi mempunyai tradisi yang melampaui sempadan politik Iran moden. Selepas penaklukan Islam, bahasa Arab memainkan peranan besar dalam kegiatan keilmuan dan keagamaan, termasuk dalam karya ramai cendekiawan berketurunan Iran. Pada masa yang sama, bentuk Parsi Baharu berkembang sebagai bahasa pentadbiran dan budaya di wilayah timur dunia Iran. Menjelang abad ke-10, pusat-pusat seperti Bukhara dan Khorasan menjadi penting bagi perkembangan kesusasteraan Parsi, khususnya melalui naungan Samaniyah.[70] Oleh itu, kebangkitan kesusasteraan Parsi selepas pengislaman Iran merupakan proses yang beransur-ansur dan tidak dapat diterangkan semata-mata sebagai tindak balas terhadap pemerintahan Arab.

    Karya epik yang paling berpengaruh dalam tradisi tersebut ialah Shahnameh oleh Ferdowsi. Ferdowsi mula menggubah karya itu menjelang akhir pemerintahan Samaniyah dan menyiapkannya sekitar 1010 di bawah pemerintahan Mahmud dari Ghazni. Shahnameh menghimpunkan dan mengolah tradisi mitos, legenda dan sejarah Iran sebelum Islam menjadi suatu naratif epik yang luas. Karya itu kemudian memainkan peranan berpanjangan dalam ingatan budaya Iran dan menjadi rujukan bagi pengarang, seniman dan pemerintah dalam abad-abad berikutnya.[70]

    Kesusasteraan klasik Parsi berkembang dalam lingkungan geografi yang luas. Jalal al-Din Rumi, yang lahir di Balkh pada 1207 dan kemudian menetap di Konya, menjadi salah seorang penyair utama tradisi mistik Parsi. Pada abad ke-13, Saadi menghasilkan karya seperti Gulistan dan Bustan di Shiraz, manakala pada abad ke-14 Hafez mengembangkan bentuk ghazal menjadi salah satu kemuncak puisi lirik Parsi.[70] Penyebaran karya dan penulis Parsi ke Anatolia, Asia Tengah dan India menjadikan kesusasteraan Parsi sebahagian daripada lingkungan budaya yang lebih luas daripada Iran masa kini.

    Pada abad ke-20, perubahan sosial dan pertemuan dengan bentuk sastera moden melahirkan gerakan baharu dalam puisi dan prosa. Nima Yushij dikaitkan dengan pembaharuan bentuk puisi Parsi moden, manakala Sadegh Hedayat menjadi tokoh penting dalam perkembangan fiksyen moden Iran. Penulis wanita turut memperoleh kedudukan yang semakin menonjol; novel Savushun (1969) oleh Simin Daneshvar, yang berlatarbelakangkan Shiraz semasa pendudukan Bersekutu dalam Perang Dunia Kedua, merupakan novel berbahasa Parsi pertama yang ditulis oleh seorang pengarang fiksyen wanita Iran.[82]

    Muzik dan seni persembahan

    [sunting | sunting sumber]

    Tradisi muzik Iran tidak bersifat seragam. Selain muzik klasik Parsi, masyarakat Kurdi, Lur, penutur bahasa-bahasa Turkik, Baluchi, Armenia dan komuniti lain mempunyai gaya dan repertoir serantau masing-masing. Muzik Iran secara umum dibahagikan kepada tradisi klasik, muzik serantau atau rakyat dan muzik popular bandar; penyampaian secara lisan serta pembelajaran terus daripada guru kepada murid secara tradisional memainkan peranan penting.[71]

    Salah satu asas muzik klasik Parsi ialah radif, himpunan lebih daripada 250 unit melodi atau gushe yang disusun dalam kitaran modal. Pemuzik mempelajarinya sebagai asas untuk persembahan dan improvisasi menggunakan alat seperti tar, setar, santur, kamancheh dan ney. UNESCO memasukkan Radif of Iranian music ke dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan pada 2009.[83]

    Seni persembahan tradisional menggabungkan muzik dengan puisi, penceritaan dan amalan keagamaan. Ta'ziye ialah bentuk drama ritual Syiah yang memperingati peristiwa Pertempuran Karbala dan kesyahidan Husain bin Ali, dengan gabungan lakonan, nyanyian, puisi dan muzik; tradisi ini dimasukkan ke dalam senarai UNESCO pada 2010.[84] Satu lagi tradisi ialah naqqali, penceritaan dramatik yang pernah dipersembahkan di kedai teh, istana dan ruang awam dengan kisah epik seperti Shahnameh. UNESCO memasukkannya ke dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera pada 2011.[85]

    Filem, televisyen dan media

    [sunting | sunting sumber]

    Pawagam Iran bermula pada zaman Qajar. Pada 1900, Mozaffar ad-Din Shah menyaksikan demonstrasi sinematograf ketika berkunjung ke Eropah dan mengarahkan jurugambar istana Ebrahim Khan Akkas Bashi mendapatkan sebuah kamera. Rakaman yang dibuat Akkas Bashi pada tahun yang sama merupakan antara rakaman terawal oleh seorang jurukamera Parsi. Pawagam awam pertama yang diketahui di Tehran dibuka oleh Mirza Ebrahim Sahhafbashi pada November 1904.[86]

    Pengeluaran filem tempatan berkembang pada abad ke-20. Sejak 1960-an, pembikin filem seperti Forugh Farrokhzad, Ebrahim Golestan, Dariush Mehrjui dan kemudiannya Abbas Kiarostami membantu membentuk pawagam seni Iran yang sering dikaitkan dengan Gelombang Baharu Iran. Filem-filem Iran memperoleh pengiktirafan yang semakin luas di festival antarabangsa selepas Revolusi 1979. Kiarostami memenangi Palme d'Or secara bersama pada 1997 menerusi Taste of Cherry.[87] Asghar Farhadi pula memenangi kategori Filem Bahasa Asing di Anugerah Akademi bagi A Separation pada 2012 dan The Salesman pada 2017.[88][89]

    Kerangka media Republik Islam tertakluk kepada peruntukan perlembagaan dan undang-undang negara. Perkara 24 Perlembagaan memperuntukkan kebebasan penerbitan dan akhbar selagi kandungannya tidak dianggap menjejaskan prinsip asas Islam atau hak awam. Perkara 175 pula mengatur Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB), dengan ketua organisasi itu dilantik dan boleh dilucutkan jawatan oleh Pemimpin Agung, sementara sebuah majlis yang terdiri daripada wakil Presiden, badan kehakiman dan Majlis Perundingan Islam menyelia organisasi tersebut.[74] Dalam amalan, persekitaran media dikenakan sekatan yang ketat. Reporters Without Borders meletakkan Iran di kedudukan ke-177 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2026 dan menyifatkan landskap medianya sebagai sebahagian besarnya dikawal oleh kerajaan, dengan wartawan serta media bebas berhadapan penahanan dan tindakan kehakiman.[90]

    Semangkuk rebusan berwarna hijau gelap dengan kacang dan herba.
    Ghormeh sabzi, sejenis rebusan herba Iran.

    Masakan Iran berbeza-beza mengikut iklim, hasil pertanian dan tradisi masyarakat setempat, tetapi beberapa bahan dan teknik dikongsi di seluruh negara. Beras dan gandum ialah bijirin utama; beras digunakan dalam hidangan seperti polow dan chelow, manakala roti gandum menjadi makanan ruji dan gandum turut digunakan dalam sup pekat seperti ash. Sayur-sayuran, herba, buah-buahan dan kekacang memainkan peranan besar, sementara buah seperti limau kering, delima, prun dan aprikot digunakan untuk menghasilkan gabungan rasa masam dan manis dalam sejumlah hidangan.[91]

    Hidangan nasi lazimnya disertai khoresh, iaitu kategori rebusan yang boleh mengandungi daging, sayur, herba, buah atau kekacang. Antara contoh yang terkenal ialah ghormeh sabzi, yang berasaskan campuran herba, serta fesenjan, yang biasanya menggunakan walnut dan delima. Kategori hidangan lain termasuk abgusht atau sup daging, pelbagai jenis kebab, dolmeh, kuku dan sup ash.[91] Produk tenusu seperti yogurt, mentega dan kashk juga penting. Dalam masakan tradisional, perasa seperti kunyit, safron, kayu manis, daun pudina, ketumbar, parsli dan halba lebih lazim daripada penggunaan cili yang sangat pedas.[91]

    Sukan tradisional Iran mempunyai hubungan dengan budaya kesatriaan, puisi dan persembahan. Ritual pahlevani dan zurkhaneh menggabungkan latihan fizikal dengan nilai kesatriaan serta bacaan puisi epik, termasuk bait daripada Shahnameh, yang diiringi pukulan gendang oleh seorang morshed. Tradisi ini dimasukkan ke dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO pada 2010.[92] Chogan, bentuk tradisional permainan berkuda yang berkaitan dengan polo dan disertai muzik serta penceritaan, turut diiktiraf UNESCO pada 2017.[93]

    Dalam sukan moden, bola sepak merupakan antara sukan yang paling menonjol di peringkat antarabangsa. Pasukan bola sepak kebangsaan Iran memenangi Piala Asia AFC tiga kali berturut-turut pada 1968, 1972 dan 1976.[94] Gusti dan taekwondo pula merupakan antara sumber utama kejayaan Olimpik Iran. Pada Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris, Iran memenangi 12 pingat, iaitu tiga emas, enam perak dan tiga gangsa; lapan pingat diperoleh dalam gusti dan empat lagi dalam taekwondo.[95]

    1. "Surface water and surface water change". Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD). Dicapai pada 11 October 2020.
    2. "داده‌ها و اطلاعات آماری". www.amar.org.ir. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 March 2018. Dicapai pada 13 September 2017.
    3. 1 2 3 4 "World Economic Outlook Database, October 2020". IMF.org. International Monetary Fund. Dicapai pada 4 January 2020.
    4. "GINI index (World Bank estimate)". Data.worldbank.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 February 2015. Dicapai pada 10 July 2021.
    5. Human Development Report 2020 The Next Frontier: Human Development and the Anthropocene (PDF). United Nations Development Programme. 15 December 2020. m/s. 343–346. ISBN 978-92-1-126442-5. Dicapai pada 16 December 2020.
    6. 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 "Iran (Islamic Republic of)'s Constitution of 1979 with Amendments through 1989" (PDF). Constitute Project (dalam bahasa Inggeris). 13 Februari 2024. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    7. 1 2 "The Islamic Republic of Iran's Power Centers" (dalam bahasa Inggeris). Council on Foreign Relations. 2 Mac 2026. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    8. 1 2 3 4 "Key facts about Iran's elections on Friday". Reuters (dalam bahasa Inggeris). 29 Februari 2024. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    9. 1 2 3 "Iran defies Trump, elevates Khamenei's son Mojtaba as successor". Reuters (dalam bahasa Inggeris). 8 Mac 2026. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    10. "The Assembly of Experts". The Iran Primer (dalam bahasa Inggeris). United States Institute of Peace. 13 Jun 2011. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    11. "Masoud Pezeshkian Wins Iran's 14th Presidential Election". Tasnim News Agency (dalam bahasa Inggeris). 6 Julai 2024. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    12. "Iran condemns US plans to announce new sanctions". Reuters (dalam bahasa Inggeris). 22 Ogos 2026. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    13. "Iran says Tehran must overcome 'unjust sanctions' as US ramps up economic pressure". Reuters (dalam bahasa Inggeris). 21 Ogos 2026. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    14. "Ejei Reappointed as Chief of Iran's Judiciary". Tasnim News Agency (dalam bahasa Inggeris). 5 Julai 2026. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    15. "Mohsen Rezaei appointed as secretary of Iran's top security body". Reuters (dalam bahasa Inggeris). 10 Ogos 2026. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    16. "قانون تشکیلات، وظایف و انتخابات شوراهای اسلامی کشور و انتخاب شهرداران و دهیاران" (dalam bahasa Parsi). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    17. "Growth in United Nations membership" (dalam bahasa Inggeris). United Nations. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    18. "Organisation of Islamic Cooperation — OIC" (dalam bahasa Inggeris). Organisation of Islamic Cooperation. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    19. "Member States - Asia and Pacific". NON-ALIGNED MOVEMENT (NAM) - Uganda Chairmanship (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    20. 1 2 3 4 5 "General Information Note on the Islamic Republic of Iran and the FAO Representation in the Country" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Food and Agriculture Organization of the United Nations. Julai 2016. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    21. 1 2 3 Ehlers, Eckart (15 Disember 2001). "Geology". Encyclopaedia Iranica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    22. "The National Action Programme to Combat Desertification and Mitigate the Effects of Drought" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Forest, Range and Watershed Management Organization, Islamic Republic of Iran. 2004. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    23. 1 2 Ehlers, Eckart (15 Disember 1995). "Drainage". Encyclopaedia Iranica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    24. "Lut Desert" (dalam bahasa Inggeris). UNESCO World Heritage Centre. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    25. 1 2 3 Ehlers, Eckart (15 Disember 1992). "Climate". Encyclopaedia Iranica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    26. "Iran (Islamic Republic of) 1979 (rev. 1989) Constitution" (dalam bahasa Inggeris). Constitute Project. Article 44. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    27. Mazarei, Adnan (20 Julai 2002). "Fiscal System vi. Islamic Republic". Encyclopædia Iranica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    28. "Paragraph C of the Decree-Order of the Grand Leader of the Islamic Revolution on the General Policies of Article 44 of the Constitution Regarding the Development of the Non-governmental Sectors Through the Privatization of Governmental Activities and Entities (2005)" (dalam bahasa Inggeris). WIPO Lex. 1 Julai 2005. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    29. 1 2 3 "Islamic Republic of Iran" (dalam bahasa Inggeris). World Bank Group. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    30. "Services, value added (% of GDP) - Iran, Islamic Rep" (dalam bahasa Inggeris). World Bank. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    31. "Industry (including construction), value added (% of GDP) - Iran, Islamic Rep" (dalam bahasa Inggeris). World Bank. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    32. "Agriculture, forestry, and fishing, value added (% of GDP) - Iran, Islamic Rep" (dalam bahasa Inggeris). World Bank. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    33. 1 2 U.S. Energy Information Administration (Oktober 2024). Country Analysis Brief: Iran (PDF) (Laporan) (dalam bahasa Inggeris). U.S. Energy Information Administration. m/s. 1. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    34. "Background Reference: Iran" (dalam bahasa Inggeris). U.S. Energy Information Administration. 20 Julai 2021. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    35. 1 2 3 World Bank (16 April 2026). Macro Poverty Outlook for Iran, Islamic Republic: April 2026 (Laporan) (dalam bahasa Inggeris). World Bank Group. m/s. 12–13. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    36. International Monetary Fund (Julai 2026). World Economic Outlook Update, July 2026: Global Economy in Crosscurrents of War and Technology (Laporan) (dalam bahasa Inggeris). International Monetary Fund. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    37. "WTO Tariff & Trade Data: Iran - Member profile" (dalam bahasa Inggeris). World Trade Organization. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    38. "Iran Sanctions" (dalam bahasa Inggeris). Office of Foreign Assets Control, U.S. Department of the Treasury. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    39. Baghishov, Elnur (16 April 2024). "Volume of inter-province truck-carried goods hikes in Iran". Trend News Agency (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    40. "Railway Statistics Synopsis" (dalam bahasa Inggeris). International Union of Railways. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    41. "Trans-Iranian Railway". UNESCO World Heritage Centre (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    42. Railway Gazette International (25 Jun 2024). "Iran's Caspian Sea rail link commissioned". Railway Gazette International (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    43. "Shahid Rajaee Port: The Beating Heart of Iran's Maritime Trade" (dalam bahasa Inggeris). Ports and Maritime Organization of Iran. 30 April 2025. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    44. "Air transport, passengers carried - Iran, Islamic Rep" (dalam bahasa Inggeris). World Bank. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    45. Kaminski-Morrow, David (11 Januari 2024). "Long-dormant Iran Air order struck from Airbus backlog". FlightGlobal (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    46. "Karaj Metro". UrbanRail.Net (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    47. "Iran - Metros". UrbanRail.Net (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    48. "Iran (Islamic Republic of)". South Asian Telecommunication Regulators' Council (dalam bahasa Inggeris). Asia-Pacific Telecommunity. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    49. "Mobile cellular subscriptions (per 100 people) - Iran, Islamic Rep" (dalam bahasa Inggeris). World Bank. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    50. "Iran: Freedom on the Net 2025 Country Report" (dalam bahasa Inggeris). Freedom House. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    51. 1 2 Roudi, Farzaneh; Azadi, Pooya; Mesgaran, Mohsen (Oktober 2017). "Iran's Population Dynamics and Demographic Window of Opportunity" (dalam bahasa Inggeris). Stanford Iran 2040 Project. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    52. "Iran, Islamic Rep. | Data". World Bank Open Data (dalam bahasa Inggeris). World Bank. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    53. "Fertility rate, total (births per woman) - Iran, Islamic Rep". World Bank Open Data (dalam bahasa Inggeris). World Bank. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    54. Lakshman Dissanayake (2022). Policy-in-practice case study: Iran: National Policy on Ageing and National Document for Older Persons (PDF) (Laporan) (dalam bahasa Inggeris). HelpAge International. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    55. "Urban population (% of total population) - Iran, Islamic Rep". World Bank Open Data (dalam bahasa Inggeris). World Bank. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    56. "Literacy rate, adult total (% of people ages 15 and above) - Iran, Islamic Rep". World Bank Open Data (dalam bahasa Inggeris). World Bank. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    57. Frye, Richard N. (15 Disember 2004). "IRAN v. PEOPLES OF IRAN (1) A General Survey". Encyclopaedia Iranica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    58. Frye, Richard N. (15 Disember 2004). "IRAN v. PEOPLES OF IRAN (1) A General Survey". Encyclopaedia Iranica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    59. 1 2 3 4 "Iran (Islamic Republic of) 1979 (rev. 1989) Constitution". Constitute Project (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    60. "Population by religion, sex and urban/rural residence". UNdata (dalam bahasa Inggeris). United Nations Statistics Division. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    61. "2023 Report on International Religious Freedom: Iran" (dalam bahasa Inggeris). United States Department of State. 2024. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    62. "2023 Report on International Religious Freedom: Iran" (dalam bahasa Inggeris). United States Department of State. 2024. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    63. Payvand. ""Iran: Focus on reverse migration"". Dicapai pada 2006-04-17.
    64. 1 2 Cultural Heritage New Agency. ""Tourism and Travel: About Iran"". Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-08-23. Dicapai pada 2006-04-17.
    65. IISS Military Balance 2006, Routledge for the IISS, London, 2006, p.187
    66. "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-12-16. Dicapai pada 2007-02-13.
    67. IISS Military Balance 2006, Routledge for the IISS, London, 2006, m/s:187
    68. Military Balance 2006, Routledge for the IISS, London, 2006, m/s:187
    69. http://www.globalsecurity.org/intell/world/iran/basij.htm]
    70. 1 2 3 4 de Fouchécour, Charles-Henri. "IRAN viii. PERSIAN LITERATURE (2) Classical". Encyclopaedia Iranica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    71. 1 2 Nettl, Bruno. "IRAN xi. MUSIC". Encyclopaedia Iranica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    72. 1 2 "Iran (Islamic Republic of)". UNESCO World Heritage Centre (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    73. "Iran (Islamic Republic of)". UNESCO Intangible Cultural Heritage (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    74. 1 2 "Iran (Islamic Republic of) 1979 (rev. 1989) Constitution". Constitute Project (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    75. Shahbazi, Alireza Shapur. "FLAGS i. Of Persia". Encyclopaedia Iranica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    76. "Persepolis". UNESCO World Heritage Centre (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    77. "Meidan Emam, Esfahan". UNESCO World Heritage Centre (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    78. "Golestan Palace". UNESCO World Heritage Centre (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    79. Walker, Daniel. "CARPETS ix. Safavid Period". Encyclopaedia Iranica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    80. "Art of miniature". UNESCO Intangible Cultural Heritage (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    81. "Ayeneh-Kari, the art of mirror work in Persian architecture". UNESCO Intangible Cultural Heritage (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    82. Jaʿfari Jazi, Masʿud. "SUVASHUN". Encyclopaedia Iranica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    83. "Radif of Iranian music". UNESCO Intangible Cultural Heritage (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    84. "Ritual dramatic art of Ta'zīye". UNESCO Intangible Cultural Heritage (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    85. "Naqqāli, Iranian dramatic story-telling". UNESCO Intangible Cultural Heritage (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    86. Gaffary, Farrokh. "CINEMA i. History of Cinema in Persia". Encyclopaedia Iranica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    87. "Palme d'or: the 1990s". Festival de Cannes (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    88. "The 84th Academy Awards | 2012". Oscars.org (dalam bahasa Inggeris). Academy of Motion Picture Arts and Sciences. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    89. "The 89th Academy Awards | 2017". Oscars.org (dalam bahasa Inggeris). Academy of Motion Picture Arts and Sciences. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    90. "Iran". Reporters sans frontières (dalam bahasa Perancis). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    91. 1 2 3 "COOKING". Encyclopaedia Iranica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    92. "Pahlevani and Zoorkhanei rituals". UNESCO Intangible Cultural Heritage (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    93. "Chogān, a horse-riding game accompanied by music and storytelling". UNESCO Intangible Cultural Heritage (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    94. "Moments and Milestones: The 1976 AFC Asian Cup". Asian Football Confederation (dalam bahasa Inggeris). Asian Football Confederation. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
    95. "Islamic Republic of Iran at the 2024 Summer Olympics". Olympedia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Ogos 2026.

    Lihat juga

    [sunting | sunting sumber]

    Pautan luar

    [sunting | sunting sumber]

    Pautan lain

    [sunting | sunting sumber]